AZAM DAN TEKAD AKU SEBAGAI PELUKIS KOMIK DAKWAH PERCUMA!


Berikut adalah copy paste sepenuhnya dari blog Feeqry (Afiq & Nazry Salam pelukis Komik Misi 8A, Misi 10A, Misi 10A+)bertajuk "Revolusi"


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Saya yakin, ramai pelukis komik di luar sana memasang pelbagai cita-cita dan impian.
Ada yang mahu menjadi pelukis komik profesional ataupun sepenuh masa, ada yang mahu mengubah persepsi masyarakat terhadap komik, dan tidak kurang juga, ada yang mahu mencipta revolusi dalam industri komik.

Saya dan Afiq memulakan karier dalam bidang komik dengan impian sedemikian rupa. Alhamdulillah, kini kami berjaya menerbitkan 6 buah novel grafik, dan insya-Allah, jumlah itu tidak akan berhenti di situ.
Tujuan saya menulis entri ini adalah bagi berkongsi pandangan yang tersintesis daripada pengalaman, pengetahuan, dan pengamatan sepanjang menjadi penulis komik.
Sekiranya mahu menjadi pelukis komik profesional, perlu terbitkan komik.
Sekiranya mahu mengubah persepsi masyarakat terhadap komik, perlu terbitkan komik.
Tentu sekali, sekiranya mahu mencipta revolusi dalam industri komik tempatan, perlu terbitkan komik.

Penerbitan yang saya maksudkan adalah penerbitan komersil. Iaitu, komik diterbitkan dalam bentuk buku fizikal oleh syarikat penerbitan yang sah, dan komik itu diedarkan ke seluruh negara.

Penerbitan komik indie, amatur, percuma, dan seumpama dengannya, tidak akan mampu mengubah pandangan masyarakat terhadap komik, apatah lagi mencipta revolusi. Sumbangan komik-komik indie dalam industri komik tempatan adalah kurang signifikan berbanding komik-komik yang dicetak dan diedarkan oleh syarikat penerbitan. Ini satu hakikat yang memeritkan bagi sesetengah pekomik.
Bagi mereka yang menganggap melukis komik sebagai hobi pada masa lapang, dan mungkin kerjaya sambilan, penerbitan indie adalah medan yang sesuai.
Bagi mereka yang mahu menjadi pelukis komik sepenuh masa, mahu membawa perubahan, dan mahu mencipta revolusi dalam industri komik tempatan, penerbitan buku komik secara komersil adalah jalan yang perlu dilalui. Bukannya penerbitan di Facebook ataupun laman sosial lain.

Mereka yang mahu mencipta revolusi dalam industri komik, tetapi masih bergelumang dalam dunia penerbitan indie, tidak ubah seperti seorang askar yang hanya menyaksikan peperangan tanpa kemampuan menyertainya.
Mahu cipta revolusi komik? Mahu memperbetulkan tanggapan masyarakat terhadap medium komik? Mahu menaikkan taraf komik tempatan ke persada antarabangsa?
Satu sahaja caranya. Terbitkan komik!

Wassalam.


Dan ini komen saya pada tulisan di atas:

InshaAllah saya jadikan tulisan tuan sebagai cabaran agar saya buktikan penerbitan komik dakwah percuma yang saya hasilkan di internet akan mencapai revolusi bukan saja pandangan masyarakat terhadap komik, tapi lebih dari itu, revolusi idea yang diketengahkan oleh komik dakwah percuma untuk masyarakat revolusikan politik, ekonomi, sosial dan pendidikan menuju sebuah tamadun yang mengangkat Islam setingginya!

Ini azam dan tekad saya hari ini yang menguatkan lagi azam dan tekad yang dahulu. Saya akan buktikan yang revolusi boleh berlaku oleh komik yang terbit percuma di laman sosial mahupun apa saja laman di internet.

yang benar,
saya, muhammad fakhrul razi a.k.a mfr studio
http://mfrstudio.blogspot.com/