BERHENTI SEBAR KOMIK DAKWAH DI FACEBOOK BERCANGGAH DENGAN SUNNAH NABI BERDAKWAH?

1. Saya nak bagi clear hal ini sebelum 31 Disember 2014 ini, jika nanti ditakdirkan saya dah tak online sampai bila-bila lepas tahun 2015, saya tak mahu orang fikir "mfr studio berputus asa dalam berdakwah". Saya tak pernah putus asa malah perjuangan front karya 200% gratis wujud juga kerana berasa takut dan bimbang Allah tanya di akhirat, "apakah kau sudah laksana kewajipan dakwah di dunia atau kau lari dari menunaikan kewajipan?".

2. Kerana saya fikir dakwah adalah kewajipan/fardu ke atas setiap muslim (kalau tak buat dakwah, maka berdosa) oleh itu saya perjuangkan komik dakwah. Kerana saya tak ambil upah menunaikan fardu-fardu agama, seperti solat, zakat, puasa, maka saya berpegang untuk tidak ambil upah dalam menunaikan fardu dakwah. Maka saya tak nampak ada ruang buat pelukis muslim lain juga untuk berhujah melukis komik tapi tak mahu komiknya menjadi komik dakwah, atau pelukis yang berhajat untuk kejar upah dalam berdakwah apatah lagi mencari rezeki bagi anak bini makan dengan lukis komik yang sia-sia tak boleh jadi hujah untuk mohon pada Allah untuk dimasukkan dalam syurga.

3. Dalam hukum melukis juga jelas hadis-hadis sahih menunjukkan Nabi s.a.w banyak melarang lukisan dan tak suka lukisan khususnya lukisan makhluk bernyawa. Nak mencari mana-mana peristiwa dalam hadis Nabi s.a.w pernah memuji lukisan setakat ini saya belum jumpa, kecuali lukisan-lukisan garisan semata-mata. Hadis Ibn Abbas juga menampakkan keringanan hanya untuk lukisan bukan makhluk bernyawa. Komik ini melibatkan lukisan makhluk bernyawa. Hujah mengharuskan lukisan ini hanya datang dari kajian fiqh para alim ulama, yang boleh saya simpul mudahkan, dengan atas tujuan keperluan mendesak pendidikan yang bermanfaat untuk agama (dakwah), ia dibenarkan/diharuskan oleh sebahagian ulama moden. Itupun syaratnya ketat supaya tujuan pendidikan tadi tak melencong ke arah membawa manusia kepada dosa khususnya syirik.

4. Syirik ini sangatlah luas. Banyak hal dalam usaha komik boleh bawa pada syirik. Sepertimana dalam hidup seharian manusia ini juga silap sikit boleh jatuh syirik. Ringkasnya, kalau hati manusia dicenderungkan kepada hal lain selain hanya bulat untuk menghambakan diri ikut taat patuh setia cinta pada Allah, hal itu boleh bawa syirik. Kalau kita cinta perempuan hingga lebih banyak ingat perempuan itu dari mengingati Allah, maka syirik hati telah berlaku. Patut Allah no.1, maka paling banyak kita ingat dalam 24 jam adalah Allah, tapi kita letak benda lain lebih banyak dari Allah, maknanya Tuhan di hati kita Allah atau benda lain? Itu syirik. Oleh sebab itu setiap muslim sebelum berniat atau menetapkan amal sehariannya mesti jelas hujah tujuan amal itu dilaksanakan. Kita bernafas pun kena jelas hujah tujuan kita bernafas, sebab Allah perintah kita hidup, Allah beri nikmat oksigen, Allah yang kurnia kekuatan jantung dan paru-paru, maka lihat, nafas kita pun buat kita ingat Allah sebab kita takut syirik.

5. Lukis komik buat pembaca memuja watak, "wah hebatnya watak ini!" pun kita risau menyebarkan syirik. Pelukis muslim patut takut menggigil kalau komiknya tak mencapai mesej agung,iaitu supaya pembaca akhirnya memuja Allah dan bukan makhluk. Menyebarkan rasa cinta dan takut pada Allah. Cinta nak Allah cinta kita kembali. Takut Allah murka hingga kita tak dapat raih cinta Allah sampai bila-bila. Itu mesej utama kita nak bawa pembaca. Kita nak pembaca cinta sunnah sebab nak dekat dengan Allah, pembaca tambah faham agama sebab nak dekat dengan Allah, pembaca semangat perjuangkan agama sebab nak dekat dengan Allah, pembaca perbanyakkan baca al quran, tadabbur dan amalkan ajarannya dan tak baca komik lebih banyak dari baca al quran sebab takut Allah jauh darinya. Itu kita nak kejar dalam komik muslim. Itulah makna dakwah. Mengajak manusia menuju pada Allah, bukan pada komik, bukan pada makhluk, makhluk dan komik hanya alat saja, macam screw driver, macam paku, macam cangkul. Apa gila duduk belek alat tanpa buat kerja? Kerja kita manusia adalah beribadah pada Allah.

6. Jika tujuan komik dah berubah, isi cerita dah tak selari tujuan, pelukis sendiri dah lalai, tak takut pada Allah, tak menggelentar dengan dosa yang belum taubat, tak takut pembaca lupa nak ingat Allah, dah tak kisah dengan syirik-syirik yang terjadi, orang review dan komentar komik kita pun lalai habis tak ingat sikit pada Allah, tak menangis langsung dengan dosa, tak rasa langsung patut taubat dan henti terus dosa maksiat, tak rasa nak baca quran, tak rasa nak ke masjid, tak rasa nak baca karangan-karangan ulama, hanya sibuk menunggu siri komik kita saja, lalai dengan isi cerita kita, buat orang rasa nak main game atau bela pet lebih dari ibadah pada Allah, maka ibadahkah lagi usaha komik kita? dakwahkah lagi tujuan kita? redhakah Allah pada kita? boleh jadi hujah nak minta masuk syurga? Atas rasa risau dan bimbang itu jugalah kita tak kan berani nak dakwah guna cara maksiat, nak dakwah tutup aurat dengan melukis watak mendedah aurat yang haram kita normalisasikan pada umat?

7. Maka lukis komik sebagai dakwah ini jalan yang sangat nipis yang sangat bahaya. Sikit silap, rasa lukisan sendiri cantik, dah timbul ujub, itupun syirik juga. Orang puji-puji kita, dah tentu mudah bawa syirik, patutnya segala pujian hanya bagi Allah. Orang tak ingat Allah, asyik ingat pada komik kita pun dah syirik. Ia usaha yang kena banyak menangis mohon Allah ampun kita selalu, usaha yang kita kena mohon sangat-sangat petunjuk dari Allah, usaha yang buat kita sentiasa berdebar kalau-kalau ia bukan suatu kebaikan tapi keburukan, mudarat dan kegagalan dakwah (gagal bawa manusia kepada Allah).

8. Saya telah pun menerima komen jujur ikhlas bahawa karya saya buruk, tiada nilai tiada kebaikan positif, dan sebuah kegagalan dakwah yakni gagal membawa manusia kepada Allah, maka apa ingat saya boleh rilek rilek saja? Apa saya nak jawab depan Allah? Jika komik saya bawa manusia kepada jalan mungkar dan syirik, bolehkah saya mohon Allah masukkan saya dalam syurga.Kalau tak ke syurga, ke mana saya? Berani saya masuk neraka? Tak takut menggigil? Itu belum lagi dikira amal realiti saya di dunia ini. Saya tak nafikan ada orang mengaku kebaikan karya saya, alhamdulillah, tapi apa jaminan kebaikan lebih banyak daripada keburukan? Saya tak mampu menjaminnya.

9. Apa yang saya boleh jamin adalah diri saya sendiri saja, sama ada banyak dapat kebaikan atau keburukan dari komik yang saya lukis sendiri ini. Alhamdulillah, setakat ini komik saya umpama nota ringkas selepas saya menelaah kitab-kitab agama, nasihat dan peringatan dari ceramah dan kuliah para alim dan asatizah. Itu saja yang saya boleh jamin. Maka menjawab persoalan di atas, adakah berhenti menyebar komik dakwah di facebook bercanggah dengan sunnah Nabi s.a.w? Mengikut situasi saya, saya berhenti bagi mengelakkan mudarat yang besar pada umat adalah selari dengan sunnah Nabi s.a.w.

10. Adakah kerana tak sebar komik dakwah di facebook, berrerti berputus asa berdakwah? Pelik sungguh soalan itu. Seperti saya terang tadi, jelas melukis komik dakwah hanyalah satu usaha yang berjalan di atas jalan nipis berteraskan hujah sebahagian ulama moden semata-mata, yang mensyaratkan banyak hal supaya tidak terjatuh dalam lembah kebatilan. Adakah dakwah semata-mata dengan jalan menyebarkan komik dakwah di facebook? Ya Allah, dakwah Nabi tersebar berabad-abad ke seluruh dunia tanpa facebook pun! Allah masih beri kita kaki, tangan, mulut , nyawa seperti pendakwah-pendakwah lain diberi, mengapa dakwah tak boleh jalan tanpa facebook? Pastilah boleh! Yakin boleh!

11. Apatah lagi sekarang ini ramai orang mengakui keupayaan pelukis-pelukis muda kita dalam berdakwah mengajak manusia kepada Allah dan sunnah Nabi s.a.w. Untuk apa lagi saya? Nak karya buruk saya merosakkan dakwah Islam? Biarlah mereka yang pakar berdakwah dalam komik ini terus beraksi. Mereka ini semua hebat-hebat belaka. Mereka tahu selok belok melukis komik dakwah yang sebenar. Mereka tahu mana satu komik dakwah tipikal, mana satu komik dakwah special hebat canggih muktabar lagi bagus dahsyat.Cukup sudah bagi saya. Ini jalan nipis, bukan semua orang patut terjun, apatah lagi saya yang berkarya teruk ini. Ada orang ada semangat dan niat yang baik, tapi dah karya tu teruk tak bawa manusia pada Allah, nak mengaku sebagai usaha komik dakwah lagi? Saya rasa cukup bagi karya saya sebagai nota peribadi saja selepas ini. Saya insaf.

12. Saya offline tahun 2015 bukan sebab nak lari berdakwah. Saya ada benda nak buat tahun 2015 ini. Dalam dunia ini bukan facebook dan komik saja! Ya Allah, facebook dan komik ini macam plak celah gigi saja, kita ada fakir miskin, gelandangan, anak-anak muda terbiar, dan penzalim-penzalim yang perlu kita lawan di luar sana. Malah saya rasa saya masih akan terus melukis, sebab ini cara saya merekod pengetahuan dan peringatan. Saya juga malah akan masih menunaikan janji untuk melukis komik permintaan bagi sesiapa yang request di e-mel. Offline yang saya maksudkan hanyalah menghilangkan mfr studio dan komik-komiknya di mana-mana channel. Saya tetap bekerja dan berkomunikasi menggunakan teknologi online sebagai diri saya, Muhammad Fakhrul Razi.

Tuntas.

p/s: terima kasih pada yang unfollow dan kecewa dengan diri saya asalkan anda terus follow Islam dan tak kecewa dan putus asa dengan rahmat Allah.

mfr

No comments: