DARI KOMIK MALAYSIA YANG PICISAN TERBIT ONLINE GRATIS, HINGGA DITERJEMAH DAN DITERBIT BUKU KOMIK DI INDONESIA (2006-2014)

Ini sebuah kisah benar. Saya mula menerbitkan karya secara online pada tahun 2006 iaitu setelah melangkah ke bumi Jepun dan berkenalan dengan forum Alwan Comics. Berkomik dengan prinsip yang saya namakan "200% gratis" hanya saya kira betul-betul serius saat saya berkarya Komik Ayat-ayat Cintan, Komik Adab dan Komik Siri Islam & Iman pada tahun 2008.

Prinsipnya memang memualkan bagi sebahagian pencinta komik dan pemain industri komik. Lukislah apa saja tanpa kira kemas atau comot, apa yang penting ia dilukis bagi membangunkan fikir yang tinggi dan sebuah rencana revolusi yang panjang untuk dicetuskan menerusi propaganda mesej yang jelas dan tuntas dari komik yang dilukis. Komik untuk melangsaikan tuntutan agama agar mampu menjawab di depan Allah. Komik atas rasa fikir risau bimbang pada umat dan tamadun manusia. Komik yang 200% gratis boleh disebarkan tanpa mengira kredit dan untung.

Ketiga-tiga komik yang serius dimulakan dengan prinsip itu boleh dikatakan paling laju dan cincai pernah saya lukiskan. Komik Ayat-ayat Cintan menjadi antara komik terpanjang saya yang dilukis cincai buruk ya amat, dilukis dengan pensel dan pembaris TANPA PEMADAM. Punya cincai kedekut nak memadam, yang kemudian di-scan dan disebarkan pertama kali dalam forum perubatan cawangan mansurah (yang saya tak ada kaitan satu habuk dengan pelajar di Mesir).

Saya tak sangka, memang komik cincai apa saja tidak menjadi masalah bagi sebahagian orang, yang penting setelah mereka membaca ada satu fikir besar yang mereka telah fikir dan terkesan. Apa lagi nak dibangkitkan jika tujuan manfaat komik adalah untuk mencetuskan fikir telah tercapai, WALAUPUN DENGAN LUKISAN CINCAI.
Sambil tidak menafikan sebuah karya patut dibuat dengan kemas dan baik sesuai dengan niat mesej yang baik, tapi MELUKIS DENGAN KEMAS BANYAK MEMAKAN MASA UMUR SEDANGKAN SUMBANGAN MESEJ TIDAK DAPAT DIBUAT SECARA PRODUKTIF bagi orang yang lemah melukis seperti saya! Orang yang yakin dia masih boleh hidup esok hari, mungkin tiada masalah untuk menghabiskan masa membelai lukisan mereka dengan penuh lemah gemalai teliti kemas cantik beautiful. Tapi bagi orang yang yakin AJALnya sudah mendekati bagai rapatnya dua jarinya tatkala bertemu, apakan daya terpaksa melukis dengan penuh rasa takut, cemas dan risau bimbang mesejnya tak dapat segera dituntaskan.

Tidak dinafikan di dunia ini ada pelukis yang imannya tinggi, mereka melukis dengan tenang tapi tetap laju dan produktif. Tidak semua mendapat anugerah itu, apatah lagi diri saya yang naif ini.

Dalam penilaian komik saya buruk, cincai, banyak dialog, tak menarik, tak ada nilai positif, sebuah kegagalan dakwah, sombong dan sebagainya yang saya percaya adalah komen yang jujur ikhlas sehingga saya private semua karya saya, nun jauh di INDONESIA rupanya ada sebahagian orang yang merasai kebaikan darinya.
Komik-komik saya yang diambil dari koleksi komik permintaan, komik poster, komik akidah, komik cerita pasal kawan, siri Islam & iman hingga ke komik siasah dan politik digabung dari awal hingga akhir buku dan diterbit dengan tajuk "99 Panduan Muslim Sehari-hari" oleh Melvana Publishing Indonesia merupakan satu rekod istimewa buat saya.
http://new.bukabuku.com/browses/product/9786021362105/99-panduan-muslim-sehari-hari-in-comic.html

Saya tak tahu menahu komik saya diterbit di Indonesia, sehinggalah saya terjumpa sendiri ketika melayari internet dan membeli serta menyemaknya sendiri, maka sahihlah komik saya dari awal hingga akhir buku!
Ia merupakan sebuah kisah benar dan bukti bahawa apa yang saya selalu sebut pada teman-teman saya, "Kau lukis saja laju-laju, banyak-banyak, hamburkan semua pesanan dan ilmu yang ada buat umat, terbit saja ONLINE GRATIS IKHLAS HANYA UNTUK RAIH REDHA ALLAH. Apabila ia 200% gratis bukan saja kau tembus alam maya, kau juga mampu tembus rumah-rumah orang hingga tembus kedai-kedai buku tanpa PENGETAHUAN MU! Akan tiba satu zaman, apabila tidak perlu lagi pelukis-pelukis komik terhegeh-hegeh menghantar karya mereka untuk dinilai penerbit, TAPI PENERBIT SENDIRI YANG AKAN MENDATANGIMU DAN MENERBITKAN KARYAMU TANPA KAU MENGHANTARNYA!"

Ini akan menggoncang segala teori menulis dan melukis komik dengan step dan peraturan begitu begini mainstream! Saya harap pelukis-pelukis seangkatan saya yang tidak pernah ada niat mahu raih apa-apa keuntungan duniawi dari hasil karya mereka, bukalah mata dan hati, jangan takut melawan arus keduniaan, jangan kejar redha manusia, jika benar kita mahu karya kita semata-mata menjadi saham akhirat, kejarlah untuk menghambur pesan-pesan meraih redha Allah semata-mata dan terbit saja 200% gratis tanpa rasa malu dan segan! BIAR ALLAH YANG MENENTUKAN NASIBNYA! ALLAH ITU LEBIH SUPREME!
Jika tidak ada yang suka baca, tidak ada yang mahu sebar, tidak ada masalah! Tak kan semua nota agama kita wajib dibaca dan disebar orang, maka SYUKURLAH kau ada nota agama pesan-pesan untuk peringatan diri kau sendiri yang KAU LUKIS SENDIRI! Jika kita tak mampu faqihkan orang, jangan lalai untuk faqihkan diri kita sendiri! Ingatan keras buat diri saya sendiri!

Begitulah! Titik! Tuntas!

mfr

No comments: