REVIEW PENGKARYA KOMIK DAKWAH ONLINE YANG MENGINSPIRASI SAYA

Ini perkara yang dah lama saya nak buat, maka saya rasa saya patut buat segera sebelum saya offline.

1. KAMAL SAN

Dalam hidup online saya yang boleh dikatakan bermula tahun 2004, melayari internet di perpustakaan Univ Malaya, karya komik dakwah Kamal San adalah pertama yang saya temui dan baca. Thread di pergh.com pada tahun 2003 yang bermula dengan soalan Sdr.Masri "takde komik dakwah ke?" hingga jawapan Icesoul dan Wanzu yang membawa kepada link-link komik Kamal San adalah thread forum legend di hati saya. Saya selalu membaca thread itu dalam menolak diri saya untuk mula melukis komik dakwah. Namun sering komik-komik yang saya lukis, hanya berakhir sekerat jalan dan saya tak letak online kerana bila saya baca semula komik saya lukis, saya tak yakin saya mampu menyampaikan sepertimana komik Kamal San telah sampaikan yang menusuk ke sanubari saya.

Saya memandang tinggi Kamal San kerana isi-isi komiknya membuatkan saya percaya Kamal San melukis dengan penuh ikhlas semata-mata kerana Allah dan mahu melangsaikan tanggungjawab dan kewajipan dakwah. Saya ingin jadi seperti Kamal San, saya juga mahu capai ikhlas, saya juga mahu tulus melangsaikan amanah dakwah. Saya ingin segala-gala rasa yang saya rasa ketika baca komik Kamal San muncul juga jika saya baca komik saya sendiri. Saya ingin hasilkan komik dakwah yang menyentap jiwa diri sendiri tanpa ada apa-apa agenda lain yang terpesong.
Saya selalu ingin baca karya-karya terbaru Kamal San, saya ingin dalami apa yang Kamal San ada dalam tarbiyah-tarbiyah yang beliau jalani.

Karya-karya Kamal San masih boleh dibaca di: http://ikomik.blogspot.com

2. DEE @ RUSYDEE ARTZ

Dia kawan baik saya. Saya mula kenal Dee lepas hantar karya Cinta Kambing Gurun ke Forum Alwancomics dalam tahun 2005, bila Dee tegur saya dalam pm. Saya pun hairan kenapalah karya picisan itu memberikan sentuhan di jiwa Dee ini hingga nak berkawan dengan saya, sedangkan dia lebih hebat melukis dan mewarna hingga ke tahap pro. Lepas dah kenal lebih rapat melalui YM, barulah saya tahu muka Dee macam muka hero dalam komik Cinta Kambing Gurun itu. Tak adalah sama, tapi muka bujur, rambut belah tengah dan pakai spec itu memang gaya Dee waktu itu. Haha.

Sejak itu kami berkawan baik dan sering berlawan gusti menconteng-conteng khususnya semasa di oekaki.
Saya memang selalu tak setuju dengan cara Dee lukis pada awal-awal kenalnya, walaupun kadang-kadang cair jugak dengan watak-watak perempuannya. Tapi dia selalu setia dengar syarah dan ceramah garang kutuk maki saya pada dirinya. Tak tau lah betul ke setia dengar, sebab kami berkawan jarak jauh, saya di Jepun dan Dee di Klate, saya pun hanya marah-marah Dee guna YM saja, walaupun memang saya menaip laju-laju waktu marah hingga menghentak-hentak keyboard dengan garangnya. Tapi Dee hanya diam dan baca yang kadang-kadang membuatkan setan lebih menghasut saya untuk lebih naik gila. Haha, entahlah zaman yang sangat kelakar pulak yang penuh aib sana sini yang tak wajar saya dedahkan.

Tapi lepas Dee muncul sebagai Syabab Musafir Kasih dan Rusydee Artz di facebook, lukisan dan komik yang dia hasilkan memang menginspirasi saya. Cuma saya jarang nak puji dia, sebab tak nak kawan baik jatuh dengan pujian. Bila saya nampak tak betul saja, saya ada tegur sikit-sikit, sebagai bukti kasih sayang. Tapi menyampah juga dengan fan perempuan dia yang bengang tak tentu tempat kalau saya tegur Dee. Saya sayang kawan saya, saya tegurlah, apa masalah? Saya tak kan nasihat dan beri teguran kalau tak sayang. Kalau terdetik di hati saya rasa benci, saya suka berpaling saja.

Dee kawan yang baik. Dia sudi teman saya membelah 5 negeri menjejak tokoh tahun 2008. Dia orang yang suka bertaubat. Dia benar-benar berusaha menuntut ilmu tak putus-putus hingga capai apa yang dia capai sekarang.Pesan-pesan melalui lukisan dia walaupun dia jarang lukis komik, selalu jadi bacaan ribuan orang. Kalau dia lukis komik, letak dialog panjang, tak ada seketul umat pun yang akan komplen dialog komik dia panjang. Hebat tak hebat aura dia berjaya buat orang fokus pada pesan-pesannya.

Malas nak review lebih panjang, Dee orang yang terkenal, hampir kesemua yang follow saya sebenarnya followers Dee. Dia hebat melukis dan menulis, boleh baca karya-karyanya di facebook: www.facebook.com/syababmusafirkasih , www.facebook.com/SyababMusafirKasihMu

3. FRESHIE @ UMMU IFFAH

Dulu saya fikir Freshie adalah geng Wanzu, waktu saya anti pada dasar-dasar Wanzu dalam Alwancomics. Kira orang yang perlu diwaspadai, macam Icesoul. Haha. Tapi inilah orangnya yang jadi fan karya saya secara tak tentu hala, apabila saya kesan dia promosi sana sini dari satu forum ke satu forum, bukan saja lukisan saya, malah puisi, tulisan dan semuanya. Saya tak suka orang perangai macam ni. Dah macam taksub. Itu waktu awal-awallah sebelum Freshie join oekaki dan berlawan conteng-conteng dengan saya dan Dee. Sebab hanya kenal online saja, dan sebab Freshie cepat terpengaruh dengan saya dan Dee, maka kami selalu lupa dia seorang perempuan.
Karya legend Freshie yang paling menginspirasi saya dan ramai orang, saya kira adalah Komik Untukmu, adaptasi cerpen Umair Zulkefli. Ramai kapel-kapel break up lalu bertaubat dan menuju tarbiyah lepas baca komik Freshie. Huhu.

Karya-karya Freshie antara yang paling digemari waktu kemuncak zaman kegemilangan ILuvIslam. Sekarang Freshie dah kurang berkarya saya tengok. Mungkin dia selesa baca komik saya dan lukisan Dee saja agaknya. Saya harap lepas saya offline, Freshie akan bangkit semula berkarya dengan bertubi-tubi dan cepat-cepat bertemu jodoh. ameen.

Karya Freshie boleh gali di: http://kangensyurga.blogspot.com

4. HIKARI

Saya tak kenal siapa Hikari ini sebenarnya. Tapi dia antara saki baki pengkarya di Alwancomics rasanya. Sejak Hikari letak komik-komik yang dia lukis semasa menuntut di Rusia, saya sering membacanya dan memang menginspirasikan. Mungkin kerana Hikari telah kongsikan bahan-bahan tarbiyah dari usrah yang dia jalani, menyebabkan saya dapat rasakan mesej dakwah yang tulus dari komiknya. Kelihatan Hikari tak lagi berkarya, mungkin terlalu sibuk sebagai doktor dan banyak cabaran hidup yang dia dah alami.

Karyanya boleh dibaca di sini: https://hikari2211.wordpress.com

5. DALE @ FADH AMN

Saya tak kenal siapa dia Dale ini, atau Fadh Amn atau rasanya ada adik dia juga terlibat dalam produksi komik-komik dakwah mereka. Saya hanya mula kenal dan kagum dengan hasil kerja mereka semasa sibuk mempromosikan Cabaran 1000 Komik Dakwah, suatu cabaran yang waktu itu ramai yang rasa mustahil, yang hari ini dah tak mustahil beribu-ribu komik dakwah online tumbuh dengan banyaknya.

Freshie ada kata Dale ini telah bangunkan Doodle Dakwah kerana mahu menyahut cabaran 1000 komik dakwah tersebut. Tapi saya kira Doodle Dakwah yang dibangunkan Dale lebih hebat dari cabaran 1000 komik dakwah yang saya cetuskan. Mungkin kerana saya fokus pada blog dan Doodle Dakwah di Fesbuk. Doodle Dakwah berkembang dengan hebatnya, mencungkil minat melukis ramai anak muda untuk melukis komik dakwah tanpa bimbang rasa rendah diri pada mutu lukisan. Makin ramai orang berdakwah, makin tersebar banyak peringatan, makin semua orang tidak lupa pada tanggungjawab sebagai Muslim. Saham-saham Doodle Dakwah sangat besar, cuma saya nampak Dale dah tak seproduktif dulu. Mungkin dia dah sibuk atau rasa sudah ramai boleh doodle berdakwah.
Karya-karya Dale boleh gali di: https://www.facebook.com/DoodleDakwah
Kalau nampak watak botak tak ada rambut tu, Dale lah lukis tu.

6. NUREL YANA MAURAD

Saya baca komik Nurel bertajuk The Pious Student sewaktu dia berkarya di deviantart memang saya sangat kagum dengan ketulusan penyampaian komiknya. Walaupun kisah itu saya pernah baca sebelumnya, tapi Nurel telah berjaya meletakkan perasaan tanpa kata-kata dalam komiknya itu. Saya benar-benar rasa Nurel ini memang yana8nurelbdkbaik. Ternyata ramai orang menginsafi penyampaian komik itu dan kelebihan dialog bahasa inggeris menjadikan komik itu tersebar lebih luas pada pembaca seluruh dunia.

Saya benar-benar berharap Nurel ini akan jadi pelukis komik dakwah yang masyhur. Amat rugi andai pesan-pesan dakwah yang ada dalam diri Nurel, tarbiyah-tarbiyah yang ia jalani, bacaan-bacaan ilmiah yang dia telusuri dibazirkan. Saya harap karya-karya Nurel akan datang, muncul dengan semangat yang sama seperti The Pious Student, seperti komik Kamal San dan Hikari yang berkongsi tarbiyah dalam komik.
Boleh terus sokong semangat Nurel sebagai potensi besar dalam karya dakwah di page nya: https://www.facebook.com/pages/Nurel/1405386423009199
___________________________________
Saya ada banyak lagi pengkarya yang saya tak sebutkan yang menginspirasi saya, termasuk sahabat saya sendiri yang sudah kembali muncul dalam platform Mat Komik atas nama Kanben Studio, atau pengkarya yang saya tak kenal rapat yang punya inspirasi tersendiri seperti Temerity, Afiq Nashiron, Farish Ibnu Addin, Amir Mustaqim, dan banyak lagilah pengkarya komik dakwah sekarang sehingga kalau dibuat buku review kesemua mereka boleh cecah 1000 pages.

Saya hanya seorang pengkarya picisan. Offline seorang mfr ini, tak beri kesan pun pada perjuangan komik dakwah. Yang memberi kesan adalah apabila muncul golongan yang mendefinisikan dakwah dan syariat kepada maksud yang terpesong. Mereka akan buat banyak anak muda salah faham tentang dakwah islam, semangatnya dilunturkan, tulus ikhlas perjuangannya dipadam, matlamat mencapai redha Allah yang berselang seli antara rasa takut, bimbang, berdebar, sedih berhujan air mata dan semangat membara mempertahankan ketinggian Islam, Quran, Hadis dan Syariat akan jadi luput.

Apa-apa pun Islam tetap akan menang dalam apa saja medan. Jika kita berjaya mengalahkan musuh, kita menang. Jika musuh berjaya mengalahkan kita, kita syahid dan tetap menang. Maka menanglah pada mereka yang dalam hidupnya semata-mata memperjuangkan Islam, Islam, Islam. Bak kata Tengku Asmadi, matlamat yang menghantui dirinya setiap masa.

Sekian.

mfr

No comments: